NEGARA ini telah melalui proses pembentukan negara bangsa selama
hampir 55 tahun walaupun prosesnya bermula berdekad lamanya. Asas pemikiran
kesemua pemimpin adalah ke atas pendefinisian identiti nasional sebagai warga
Malaysia. Yang mahu dicari adalah titik keseimbangan memberikan definisi kepada
budaya bangsa dan kemunculan alam Melayu dengan pengaruh Hindu, Buddha, Cina,
Aceh, Bugis serta kehadiran Islam. Alam negara dan pemimpin juga diikat dengan intervensi penjajahan
yang cuba menggugat kedaulatan bangsa, membentuk negara-bangsa acuan mereka
serta unsur kapitalisme yang mempengaruhi dasar kolonialisme ketika itu
termasuk dasar 'pecah dan perintah' yang mentadbir-urus Persekutuan Tanah
Melayu dengan pembahagian kepada tiga termasuk Negeri Bersekutu, Tidak
Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. British tidak pernah membuat usaha mentadbir
sebagai unit yang sama, malahan lebih tertarik dengan limpahan sumber tanah
air. Ada juga yang menganggap Perlembagaan dirangka untuk melindungi
kepentingan ekonomi dan pertahanan British. Ketika itu, ia turut mempengaruhi
kedudukan Raja-Raja Melayu tetapi ramai yang tidak mengetahui bahawa
persetujuan Raja-raja Melayu amat signifikan dalam membawa kemerdekaan kepada
tanah air.
Penjajahan juga tidak membawa perubahan besar kepada masyarakatnya
dan ia ketara ketika kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Jika diteliti;
yang diperlukan oleh negara bangsa yang merdeka adalah pembentukan sebuah
kerajaan yang ampuh, memahami persekitaran dan sejarah kedaulatannya.
Yang memudahkan kepimpinan waktu itu adalah perkongsian kuasa
gabungan besar bercirikan kepelbagaian. Memandangkan kekuatannya adalah
kepelbagaian, maka ia memberikan motivasi dan keazaman kepada kepimpinan
tersebut untuk 'berkorban dan berkompromi' kerana asas kepada warisan
kepimpinan adalah kepada 'demografi dan geografi' negara ini terutama faktor
penghijrahan akibat pengaruh dagangan dan agama.
Yang ketara, asas pemikiran pembentukan Perlembagaan adalah untuk
membina dan mengisi sebuah negara-bangsa, maka apakah bentuk yang perlu dibina
dan apakah pengisian yang diperlukan?
Sudah pasti pembinaannya adalah berpaksikan kepada 'Kontrak
Sosial': Agama, Bahasa, Institusi Raja-Raja Melayu, Kedudukan bumiputera dan
kaum lain serta Kewarganegaraan. Ia selari dengan pendirian kepimpinan hari ini
sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam perutusan Hari Kebangsaan Ke-53 pada 31 Ogos 2010 bahawa - 'teras
perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat
Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama
oleh semua kaum sepertimana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun
negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial
nasional'.
Teras utama keluhuran Perlembagaan adalah melahirkan identiti
bangsa. Kesinambungan yang wujud hari ini adalah berasaskan kepada pendirian
kepimpinan yang mahu mencari titik keseimbangan dalam pentadbiran sebuah negara
yang rencam dengan alam persekitaran dan kehidupan yang unik ini.
Dalam mengukuhkan kedudukan tadbir- urus apatah lagi dengan
pemerintahan sendiri, formulanya adalah tanggungjawab bersama daripada lensa
'perkongsian' dan 'kepunyaan' dalam lingkaran politik yang terasnya adalah
etnik. Asas pemikiran kepimpinan adalah untuk 'mengurus hubungan antara etnik'
sebagaimana yang terbukti dari formula 4+1 di bawah Kontrak Sosial.
Pemimpin mengetepikan beberapa kepentingan etnik masing-masing;
semangat perkongsian hidup sebagai satu keluarga besar; toleransi,
hormat-menghormati; saling faham memahami. Kepelbagaian memberi kekuatan.
Prinsip asas negara tidak boleh dikompromi dan generasi baru perlu
sedar kepentingannya. Ini kerana tanggungjawab kewarganegaraan adalah
tanggungjawab bersama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Ia bukan
Perlembagaan bukan orang Melayu dan ia juga bukan Perlembagaan untuk orang
bukan Melayu; Perlembagaan Malaysia adalah untuk keseluruhan warga Malaysia
yang bertanggungjawab ke atas tanah airnya.
Sewaktu pembentukan Perlembagaan, kita berhadapan dengan desakan
luaran terutama penjajah dan desakan dalaman dari orang Melayu dan bukan Melayu
tetapi akhirnya sumbangan untuk ketika itu yang juga membawa kepada penubuhan
Malaysia dan penentangan komunis adalah Perlembagaan.
Keunikan politik gabungan membolehkan lahirnya Perlembagaan. Tanpa
Kontrak Sosial, tidak mungkin wujud Perlembagaan dan tanpa ada Perlembagaan,
Malaysia tidak akan mengecapi 55 tahun merdeka tahun ini. Kontrak Sosial adalah
gambaran hubungan etnik, kemerdekaan, Perlembagaan dan pemerintahan sendiri.
Kepelbagaian etnik harus dilihat memberikan kekuatan dan bukan
sebagai liabiliti. Perlembagaan pernah diuji pasca-peristiwa 13 Mei 1969; diuji
mengenai resolusi konflik termasuk dilema ke atas formula yang dipersetujui
sebelumnya.
Cabaran besar adalah krisis identiti dan pembentukan negara bangsa
akibat desakan dan bangkangan dan tentangan dari dalam dan luar. Ekspektasi
menggunung tinggi dan pemimpin baru ketika itu yang mahu melanggar arus kerana
kurang yakin dengan politik akomodasi; membawa kepada politik komunalisme yang
ketara pada 1969.
Di manakah 'politik perkauman' dalam konteks persekitaran politik
hari ini; apakah selepas Mac 2008, masing-masing yakin bahawa kita sudah
bergerak melangkaui politik perkauman atau ia semakin menjadi tebal dalam
kalangan segelintir warganya?
Dalam berhadapan dengan krisis pengisian ke atas negara bangsa,
kepimpinan masih meletakkan kepercayaan ke atas 'mengurus hubungan etnik'
bersaratkan kepada nilai 'perkongsian' walaupun boleh memilih untuk bersifat
homogenus dari keutamaan kepada masyarakat yang heterogenus. Legitimasi ini
lahir dari Perlembagaan sendiri dan bukan dokumen lain walaupun kita turut akan
menghubungkaitkan dengan Rukunegara, Wawasan 2020 dan dasar kerajaan yang lain.
Partisipasi politik dan pendemokrasian juga menjejaki fasa baru
dalam persekitaran yang kompleks. Budaya menyanggahi kepimpinan ketika itu
wujud secara halus dan kritikal.
Dalam alam yang penuh emosi dan kemarahan, kerajaan membuktikan
kewibawaan dalam mengurus demografi dan geografi negara ini untuk menunjukkan
bahawa masing-masing perlu bertanggungjawab ke atas persekitaran yang mereka
huni. Kaedah untuk berhadapan dengan isu sensitif terutama sebagaimana yang
sudah dipersetujui di bawah Formula Kemerdekaan; memperluaskan konsensus
politik dengan penjenamaan 'kerajaan perpaduan nasional' diperkenalkan.
Memahami Perlembagaan dan Kontrak Sosial akan menggambarkan
kekuatan dirinya untuk menjadi warga Malaysia yang setia, bangga dan mahu
bersama dalam pertahankan hubungan etnik dan hak sebagai warga.
Siapa Warganegara? Apa hak warganegara? Jika merasakan ada
'kebebasan'/hak hari ini, persoalan dari mana datangnya 'kebebasan'/hak ini
mesti dijawab. Hak mempunyai beberapa elemen termasuk peri-pentingnya hak
asasi; kepentingan nilai manusia; pentingnya akal; hak pemilikan dan
kesejahteraan; nilai warisan keturunan dan sistem persanakan yang terurus
dengan baik; dan hak jati diri manusiawi.
Jangan disalahkan Perlembagaan jika memilih untuk melihat ia hanya
dari satu belah kacamata tanpa mahu melihat keseluruhannya. Perkara 3 (Agama
bagi Persekutuan); Perkara 152 (Bahasa kebangsaan); Perkara 153 (Perezapan
kuota mengenai perkhidmatan, permit dsb., untuk orang Melayu); Perkara 39
(Kuasa memerintah Persekutuan) dan Bahagian III (Kewarganegaraan) mesti
diketahui secara menyeluruh dan bukan sekadar kiasan semata-mata.
Perlembagaan dan perpaduan juga bergantung kepada hubungan
resiprokal penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar jika mahu mantapkan
kemuafakatan dalam kalangan ahli masyarakat.
Perkembangan kenegaraan telah menyebabkan ada yang terkehadapan
dan ada masih terkebelakang. Namun, kepentingan 35 peratus di bawah garis
kemiskinan perlu dijaga kebajikan akan tidak songsang dengan kehidupan
berkualiti.
Indikator terbaik adalah tanggungjawab meringankan beban kelompok
dari mana-mana etnik sekalipun dengan kemudahan asas dan keperluan seharian
agar jiwa merdeka Malaysia tidak dicabut dari dirinya.
Titik peluh mereka juga menyumbang kepada kemerdekaan dan
pengisian ke atas kemerdekaan serta pembinaan Perlembagaan. Perlembagaan turut
memelihara hak mereka sebagaimana hak warga lain kerana Perlembagaan Malaysia
adalah untuk keseluruhan rakyat Malaysia tanpa wujud Perlembagaan yang berbeza
mengikut latar belakang etnik dan kelas masyarakat.
Ketika menyingsing 2020, nilai 'kepunyaan' dan 'perkongsian' akan
mampu melahirkan bangsa Malaysia dengan pendefinisiannya merujuk kepada seorang
yang bangga menjadi warga Malaysia, fasih berbahasa Melayu dan menjunjung
ketertinggian Perlembagaan sebagaimana yang dikonseptualisasikan oleh bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
© Utusan Melayu (M) Bhd
OLEH : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIANPusat Pengajian Sains
KemasyarakatanUniversiti Sains Malaysia.